13.1.11

Perkongsian : Lagi Hina Dari Orang Kafir



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum.

Sudah lama saya tidak mengongsikan artikel-artikel menarik di sini.

Baru sebentar tadi,saya ada membaca satu penulisan yang sangat menarik,dan menginsafkan.Jadi mahu,berkongsikannya di sini.

Selamat Membaca!

Sumber Asal Artikel : Link

Kalau bahagikan manusia mengikut kategori keimanan,pastinya kita akan membahagikannya kepada 2 iaitu orang beriman dan orang kafir. Orang beriman akan dianugerahkan syurga yang di bawahnya mengalir air sungai, mengecapi keseronokan tanpa batasan sementara orang kafir akan dihumban ke dalam neraka dan diseksa untuk selama-lamanya.

Tapi sebenarnya, bila kita klasifikasikan manusia mengikut kategori keimanan,ada golongan ketiga yang mana golongan ini bukanlah golongan separuh beriman dan separuh kafir tetapi diceritakan oleh Allah,golongan ini adalah golongannya tersendiri. Hal ini dijelaskan oleh Allah di dalam ayat 143 Surah An-Nisa:

[143]
Mereka berkeadaan “muzabzab” (tidak mempunyai pendirian yang tetap) antara (iman dan kufur) itu; mereka tidak berpihak terus kepada golongan (kafir) dan tidak pula berpihak kepada golongan (yang beriman). Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka engkau (wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya.

Siapakah golongan ‘istimewa’ ini? Dia bukan Mukmin dan bukan juga Kuffar,jadi dia siapa? Undur satu ayat:

[142]
Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).

Ya,golongan ketiga ini adalah golongan Munafik. Sifat-sifat orang munafiq yang paling jelas diterangkan dalam ayat sebelumnya:

[141]
(Mereka yang munafik itu ialah) orang-orang yang sentiasa menunggu-nunggu (berlakunya sesuatu) kepada kamu; maka kalau kamu mendapat kemenangan dari Allah (dalam sesuatu peperangan), berkatalah mereka (kepada kamu): “Bukankah kami turut berjuang bersama-sama kamu? (Oleh itu kami juga berhak menerima bahagian dari harta rampasan perang)”. Dan jika orang-orang kafir pula mendapat bahagian (yang menguntungkan dalam peperangan), berkatalah mereka (kepada orang-orang kafir itu): “Bukankah kami turut membantu kamu dan mempertahankan kamu dari (serang balas) orang-orang yang beriman (dengan mendedahkan rahsia perpaduannya)?” Maka Allah akan menghakimi di antara kamu semua pada hari kiamat; dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.

Mungkin,kita tidak tergolong dalam ciri di atas disebabkan belum ada satu peperangan besar antara Islam dan Kafir sepertimana di zaman Rasulullah,jadi kita tidak ‘berpeluang’ untuk lakukan ciri-ciri di atas.

Tapi jangan lega sebab ada ciri-ciri basic orang Munafiq yang diterangkan oleh Rasulullah dalam hadisnya yang sahih:

Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia merupakan orang munafik.

Sesiapa yang bersifat dengan salah satu daripadanya bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas“ [Hadith Sahih Riwayat Muslim]

Jadi macamana? Ada salah satu ciri-ciri di atas? Siapa yang dalam hidupnya tidak pernah berbohong? Satu hari kawan hantar mesej ajak keluar tapi kita tengah asyik layan drama Korea. “Sry la,tak sehat la ari ni,lain kali la ye…” Walaupun kesihatan kita berada pada tahap maksimum.

Siapa yang tak pernah mengkhianati persetujuan yang dibuat? Sebagai contoh,dulu pelajar JAD dalam persetujuan yang dibuat,tidak dibenarkan membawa masuk orang luar ke dalam rumah tetapi berapa ramai yang jadikan rumah masing-masing sebagai rumah tumpangan kawan-kawan sekolah lama?

Siapa yang tak pernah berjanji tapi menyalahi? Hujung minggu janji mahu keluar dengan kawan-kawan di Mid Valley. Tiba-tiba, bila minta izin ayah,ayah tak bagi. Rasa bersalah kalau tak keluar dengan kawan-kawan sebab bukan selalu dapat jumpa, semua sibuk belajar di Universiti masing-masing,jadi buat keputusan keluar juga dengan kawan walaupun langgar janji dengan ayah untuk tidak keluar.

Siapa yang tak pernah melampau dalam perbalahan? Kereta kita dilanggar oleh kereta kancil yang dipandu oleh pemandu ‘P’. Kita keluar kereta caci maki pemandu tersebut,talefon kawan-kawan kita suruh datang ke tempat kejadian, kita minta duit pampasan yang melampau walaupun kerosakan pada kereta tidak lah teruk sangat. Bukankah ini melampau?

Mungkin dalam 4 ciri-ciri di atas,ada satu yang pernah kita buat.Jadi bila kita terbuat perkara di atas,maka kita ada potensi besar untuk dilabel sebagai orang munafiq. Kalau orang beriman tempatnya di syurga,orang kafir tempatnya di neraka,bagaimana pula orang Munafiq? Allah menceritakan perihal ini dalam ayat di bawah,surah An-Nisa:

[145]
Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.

Sebetulnya ayat bergaris itu diganti dengan nama kita kalau kita tergolong dalam golongan Munafiq. Orang munafiq tempatnya lagi teruk dari orang Kafir penyembah berhala,mereka ditempatkan di neraka yang paling bawah yang mana neraka sifatnya semakin bawah semakin teruk azabnya,jadi kalau Allah kata bawah sekali? Nauzubillah.

Saya berpesan kepada diri saya sendiri supaya bermuhasabahlah,jangan dekati sifat-sifat orang Munafiq kerana golongan ini bakal ditempatkan di dalam neraka yang paling bawah.

Azab neraka yang paling seksa satu perkara,malu pula satu perkara. Mana tidaknya,bayangkan di dunia kita beriman,kita pergi ke masjid walaupun sekali seminggu untuk solat Jumaat,orang kafir tahu kita Islam,kadang-kadang terlintas di dalam hati kita, “ya Allah,kasihannye dia, kat dunia ni dah buat baik tapi akhirat esok masuk neraka” tapi disebabkan kemunafiqan yang telah kita lakukan, di akhirat,kita lagi teruk daripada mereka,kita lagi bawah dari mereka,andai tingkat-tingkat neraka itu lutsinar,orang kafir nampak kita diseksa di bawah mereka,bukankah itu sungguh memalukan?

Renung-renungkanlah.


Sumber Asal Artikel : Link

Bagaimana?Astaghfirullahalazim.Insaflah kita.Marilah sama-sama berubah.

Yang paling saya bimbangkan adalah bahagian ini,"apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas".

Fikir-fikirkanlah.

Assalamualaikum dan Selamat Beramal.

P/S : Oleh kerana ini bukan Penulisan saya,saya mohon maaf di atas segala kesilapan yang berlaku di dalamnya.


1 comment:

BaiTiL a'tiQa said...

syukran utk perkongsian..

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Membaca.